Seorang lemas, rakan hilang ketika memancing di laut

Seorang lemas, rakan hilang ketika memancing di laut

Kudat: Mayat seorang pemancing ditemui manakala rakannya masih hilang selepas kedua-dua lelaki terbabit keluar memancing, sejak 1 Januari lalu, di perairan daerah ini.

Mangsa, Laurun Maujun, 53, ditemui penduduk kampung di kawasan perairan Kampung Selamat, Pulau Balambangan, di sini, kira-kira jam 3 petang, semalam.

Operasi Carilamat masih giat dijalankan disekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Kerakit, Pulau Banggi untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Katanya, seorang lagi mangsa Kamri Kail, 51, masih belum ditemui dan usaha pencarian masih diteruskan dengan dikoordinasikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Operasi carilamat dibantu oleh agensi sahabat seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin masing-masing mengatur gerak dua aset dalam melaksanakan ‘OP Carilamat’ ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi carilamat ini diaktifkan selepas dua pemancing terbabit dilaporkan hilang pada jam 11.30 pagi, semalam,

Chin Chau berkata, mengikut maklumat diterima, kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut menaiki sebuah bot kayu, kira-kira jam 8.00 pagi, Sabtu lalu.

Katanya, kedua-dua mangsa dilaporkan memancing di sekitar kawasan perairan antara Kampung Limbuak Laut dan Pulau Balambangan.

Sehubungan itu, Chin Chau menasihatkan komuniti maritim supaya berwaspada dan menangguhkan aktiviti laut susulan keadaan cuaca buruk serta angin kencang yang melanda perairan Kudat ketika ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|