Sandakan: Seorang remaja lelaki yang hilang di kebun di Jalan Alip, Batu 13, di sini, malam tadi, ditemui lemas, hari ini.
Mangsa, Anas Ibrahim Abdullah yang berusia 18 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam di kawasan kebun berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan pencarian namun gagal menemui mangsa sebelum operasi disambung, hari ini.
“Mangsa akhirnya ditemui jam 8.33 pagi oleh pasukan operasi di dalam kolam kawasan kebun dengan kaedah menggunakan peralatan ‘Grappling Iron’,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa terus diangkat keluar sebelum diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.28 pagi.
-Deasoka