Semua parti politik Sabah perlu bincang cadangan kad warga asing

Semua parti politik Sabah perlu bincang cadangan kad warga asing

Kota Kinabalu: Pertemuan antara parti politik di negeri ini perlu diadakan bagi membincangkan cadangan mengeluarkan kad warga asing yang dinyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut berkata, perbincangan itu perlu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat mengenainya.

Beliau dalam pada itu berharap supaya perkara berkenaan turut dibawa dan dibahas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terlebih dahulu.

“Pergerakan Pemuda PBS tidak akan mendiamkan diri sekiranya tiada perbincangan dibuat.

“Sebarang pemberian apa-apa dokumen pengenalan diri perlu diteliti dari semua sudut kerana ia adalah isu yang sensitif dan melibatkan perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung cadangan mengeluarkan kad warga asing yang menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat Sabah.

Christopher berkata, isu pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu diselesaikan dengan segera dan memerlukan kerjasama daripada kuasa politik negeri dan Pusat.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menjelaskan bahawa masih belum ada sebarang keputusan mengenai cadangan kad warga asing itu.

“Ini sekali gus membuktikan kerajaan negeri mempunyai keupayaan mempertahankan hak-hak Sabah dan dalam masa yang sama memelihara hubungan baik persekutuan dan negeri bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat Sabah.

“Oleh itu, semua pihak harus terus bersatu hati dan mempertahankan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Sehubungan itu, Christoper meminta supaya kerajaan Pusat menggandakan usaha mempertahankan kuasa berkaitan imigresen dalam menangani isu PATI terutama di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|