Kerenah birokrasi SESB didakwa punca kes curi elektrik di Sandakan

Kerenah birokrasi SESB didakwa punca kes curi elektrik di Sandakan

Sandakan: Karenah birokrasi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dikenal pasti sebagai punca utama menyumbang kepada kes kecurian bekalan elektrik di daerah ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, banyak perkampungan selama ini dianggap diduduki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) oleh pihak SESB.

Disebabkan itu katanya, syarikat utiliti berkenaan langsung tidak berminat untuk membekalkan elektrik ke perkampungan terbabit.

“Pihak SESB sendiri tidak proaktif dalam menyelesaikan masalah elektrik di kebanyakan perkampungan terutamanya di Parlimen Batu Sapi walaupun masalah itu sudah berlanjutan hampir 30 tahun.

“Mana mungkin kita boleh biarkan penduduk kampung sentiasa bergelapan dan rutin harian terganggu disebabkan bekalan elektrik yang tidak pernah disalurkan secara bermeter di kampung-kampung sekitar Batu Sapi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan pihak SESB yang menganggarkan kerugian hampir RM2 juta akibat kecurian elektrik berlaku di Sandakan.

Khairul Firdaus berkata, ramai penduduk difahamkan cuba untuk memohon secara sah, namun tidak dilayan dan pelbagai alasan diberikan oleh SESB.

Katanya, itu adalah keluhan kebanyakan penduduk di beberapa kampung termasuk di Kampung Cenderamata, di sini.

“Selain itu, kos pemasangan yang tinggi juga menjadi salah satu perkara yang menyumbang kepada kes kecurian elektrik.

“Kebanyakan penduduk kampung di Batu Sapi tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan seumpama itu,” katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan memang ada segelintir penduduk yang mengambil kesempatan, namun majoriti penduduk tidak mempunyai pilihan yang lain demi meneruskan kehidupan seharian.

Katanya, data ataupun bancian yang dilakukan kononnya kebanyakan penduduk kampung yang tinggal di Batu Sapi adalah PATI juga sama sekali tidak berasas.

Sehubungan itu, Khairul Firdaus memohon pihak SESB supaya dapat bersama-sama dengan penduduk kampung mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Isu kemanusiaan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya dalam perkara ini. Ini soal kehidupan masyarakat kampung,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|