Remaja lemas ketika menjala ikan

Remaja lemas ketika menjala ikan

Tenom: Seorang remaja yang hilang selepas keluar menjala ikan di Sungai Padas, Kampung Pangi, di sini, malam Rabu lalu, ditemui lemas, hari ini.

Mangsa, Kriston Jukiring, 19, ditemui penduduk kampung di kawasan tebing sungai kira-kira 10 kilometer dari lokasi awal mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa ditemui kira-kira 10 kilometer daripada lokasi awal mangsa dilaporkan hilang. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba terpaksa menggunakan pengangkutan kereta api untuk ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Mangsa berjaya dijumpai oleh orang kampung bersama pasukan bomba dan agensi bantuan lain iaitu polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada jam 1.10 petang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang turut hadir membantu di lokasi mangsa ditemui.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya bertindak mengangkat mangsa ke stesen kereta api untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.20 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|