Covid-19 Sabah: Kes tertunggak punca jumlah kes tinggi

Covid-19 Sabah: Kes tertunggak punca jumlah kes tinggi

Kota Kinabalu: Kes tertunggak menjadi penyebab utama kes harian Covid-19 di Sabah kekal tinggi meskipun berlaku penurunan agak banyak berdasarkan statistik baharu jangkitan kes.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebahagian besar kes baharu yang direkodkan hari ini, khususnya di Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Putatan adalah keputusan saringan kes tertunggak.

Katanya, kebanyakan kes tertunggak di daerah terbabit baru didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu, sekali gus menjadikan jumlah kes harian lebih tinggi.

“Sabah mencatatkan kes jangkitan baharu sebanyak 4,256 kes hari ini, penurunan sebanyak 636 kes berbanding 4,892 kes semalam.

“Bagaimanapun, jumlah ini harus dilihat dalam konteks bahawa sebahagian besar kes baharu di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Putatan adalah keputusan saringan kes tertunggak yang baru didaftarkan dalam masa 24 jam yang lalu,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau berkata, Kota Kinabalu kekal mencatat kes empat angka dengan 1,241 kes, manakala sebanyak 11 daerah mencatat kes tiga angka iaitu Papar sebanyak 370 kes, diikuti Putatan (363 kes), Penampang (345 kes), Tuaran (308 kes), Kota Belud (186 kes), Tawau (165 kes), Sandakan (157 kes), Keningau (144 kes), Beaufort (126 kes), Lahad Datu (113 kes) dan Kota Marudu (100 kes).

Katanya, sebanyak 13 daerah lain mencatat kes dua angka, manakala dua daerah mencatat kes satu angka iaitu Semporna dan Kalabakan dengan masing-masing mencatat lima serta empat kes.

Dalam pada itu, beliau berkata peratusan jangkitan sporadik dalam komuniti kekal tinggi dengan 65.48 peratus sekali gus menjadi penyumbang utama jangkitan baharu di 20 daripada 27 daerah di Sabah.

“Sekali lagi rakyat diperingatkan agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa ketika berada di khalayak ramai khususnya ditempat awam yang penuh sesak,” katanya.

Beliau berkata, satu kluster tempat kerja diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Binunuk yang membabitkan lokaliti Beaufort dan Papar menjadikan jumlah kluster aktif di Sabah setakat ini turun kepada 41 kluster.

Mengenai tahap jangkitan, Masidi berkata 99.56 peratus atau 4,237 daripada 4,256 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, mabakala sembilan kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan enam kes dalam Kategori 5.

Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), katanya setakat ini seramai 36,382 daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun sudah menerima suntikan pertama vaksin di Sabah.

“Sebanyak 517 kes pada hari ini melibatkan kanak-kanak berumur bawah 11 tahun yang belum divaksin, dengan 237 daripadanya kanak-kanak berumur bawah lima tahun yang belum layak mendapatkan vaksin,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 25 Februari 2022
Sabah 4,256 (4,892)

Kota Kinabalu 1,241 (1,947)
Papar 370 (290)
Putatan 363 (22)
Penampang 345 (415)
Tuaran 308 (425)
Kota Belud 186 (207)
Tawau 165 (208)
Sandakan 157 (192)
Keningau 144 (144)
Beaufort 126 (194)
Lahad Datu 113 (100)
Kota Marud 100 (93)
Sipitang 89 (48)
Kuala Penyu 72 (85)
Tenom 70 (54)
Ranau 69 (79)
Pitas 52 (33)
Tambunan 50 (53)
Kinabatangan 44 (18)
Nabawan 38 (64)
Kunak 35 (19)
Beluran 33 (54)
Tongod 31 (13)
Telupid 27 (69)
Kudat 19 (49)
Semporna 5 (13)
Kalabakan 4 (4)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 24 Februari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|