STAR tiada masalah terima KDM sertai GRS

STAR tiada masalah terima KDM sertai GRS

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tiada masalah untuk menerima permohonan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan bagaimanapun berkata, perkara itu perlu mendapat persetujuan daripada semua pihak melalui perbincangan dengan rakan parti lain dalam GRS untuk mendengar pendapat mereka.

“Setuju. Bagi saya tiada masalah tetapi kita kena dengar yang lain juga,” katanya kepada media pada majlis pelancaran Program Keluarga Malaysia ‘Everest Expedition 2022, Journey To The Top By Sabahan’ di sini, hari ini.

Beiau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tidak mahu tergesa-gesa untuk menerima parti baharu dalam GRS.

Mengulas lanjut, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah percaya dengan kemasukan parti yang dipimpin bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony itu akan memperkukuhkan lagi kerajaan GRS.

“Saya percaya ini akan dibincangkan dengan secepat mungkin dan saya percaya juga ada kebaikannya untuk menerima permohonan itu kerana ia juga akan memperkukuhkan kerajaan GRS.

“Jadi saya melihat ini sebagai satu yang boleh memperkuatkan kerajaan, kerana kerajaan ingin melihat kesatuan pemimpin-pemimpin dari parti-parti (dalam GRS),” katanya.

Isnin lalu, Peter yang juga presiden protem parti itu mengumumkan KDM sebagai parti baharu yang ditubuhkannya dan berhasrat untuk menyertai GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|