Sabah tubuh SCB, mulai operasi tahun depan

Sabah tubuh SCB, mulai operasi tahun depan

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan menubuhkan Biro Konvensyen Sabah (SCB) yang dijangka mulai beroperasi awal tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan kemudahan yang sangat diperlukan untuk menceburi Acara Perniagaan berasaskan pelancongan.

Dr Joachim mewakili Hajiji menyempurnakan pembukaan Hotel Hyatt Centric, Kota Kinabalu.

“Ia sekali gus mampu menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan untuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran.

“Ini akan menjadi rangsangan kepada sektor pelancongan di Sabah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Hyatt Centric, hari ini.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Joachim Gunsalam.

Dr Joachim menerima cenderamata daripada Pengerusi Hap Seng Consolidated Berhad, Thomas Karl Rapp sempena pembukaan Hotel Hyatt Centric.

Hajiji berkata, susulan usaha pemulihan dilaksanakan, Sabah telah merekodkan sebanyak 1.2 juta ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, dengan anggaran penerimaan pelancongan sebanyak RM2.1 bilion.

“Ia merupakan berita baik bahawa Sabah akan mempunyai tambahan 24 penerbangan antarabangsa setiap minggu, bermula 5 Disember hingga 1 Januari depan, daripada Taipei, Narita, Busan dan Hong Kong.

“Ia merupakan penambahan 52 peratus kepada kapasiti kerusi antarabangsa sedia ada,” katanya.

Dengan perkembangan terkini ini, beliau yakin bahawa ketibaan pelancong ke Sabah akan melepasi sasaran 1.3 juta untuk tahun ini.

“Ini bermaksud Sabah terbuka untuk perniagaan dan pelancongan, kita sedang meneroka pelbagai cara untuk meningkatkan pelancongan, mengiktiraf kepentingannya sebagai pemangkin ekonomi.

“Ini akan meningkatkan daya saing kerana kits ingin memastikan bahawa Sabah kekal sebagai salah satu destinasi pelancongan kegemaran Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan hotel baru seperti Hyatt Centric merupakan petanda baik untuk industri pelancongan yang merupakan sektor paling terkesan susulan pandemik Covid-19.

Jelasnya, bukan sahaja telah menyebabkan penurunan mendadak dalam jumlah ketibaan pelancong tetapi juga kepada semua perniagaan, dan ia hampir kepada tahap bencana kerana pelancongan merupakan penjana pendapatan terbesar negeri ini pra-pandemik.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri tidak berputus asa dalam usahanya menangani cabaran dan dalam tempoh singamkat sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan, satu pelan pembangunan negeri telah digubal bagi memberi kejelasan pada bidang tumpuan, terutamanya untuk perniagaan dan pelabur.

“Pelancongan merupakan satu daripada tiga teras utama selain pertanian dan industri. Untuk mengurangkan impak, kita telah memperuntukkan RM227.4 juta kepada sektor pelancongan untuk menyokong dan memulihkan industri.

“Ini termasuk memperkasakan komuniti tempatan melalui penyertaan dalam Program Pembangunan Pelancongan Luar Bandar di bawah Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

“Antara lain ialah inisiatif pemulihan terhadap keterlihatan tinggi yang memberi impak antarabangsa, kempen destinasi promosi bersama dengan industri dan syarikat penerbangan serta program Suai Kenal media,” katanya.

Hajiji berkata, penerbangan berjadual terus telah dimulakan semula serta dengan sambungan jarak jauh yang telah ditetapkan dan di samping itu, Insentif Khas Syarikat Penerbangan kepada syarikat penerbangan juga diperkenalkan untuk menggalakkan syarikat penerbangan menyambung semula laluan antarabangsa ke Sabah.

“Setakat bulan ini, enam syarikat penerbangan telah memulakan semula laluan antarabangsa ke Kota Kinabalu,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|