Pembentukan kerajaan ditangguhkan sehingga jam 2 petang esok

Pembentukan kerajaan ditangguhkan sehingga jam 2 petang esok

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk melanjutkan proses mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan jam 2 petang esok.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Istana Negara, titah perkenan Agong itu adalah susulan daripada permohonan daripada ketua dan gabungan parti politik dan gabungan politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara, hari ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau ‘Caretaker Prime Minister’ berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

“Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

-Deasoka

Share

Written by:

1,535 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!