Pemimpin BN, PH adakan pertemuan di Kuala Lumpur

Pemimpin BN, PH adakan pertemuan di Kuala Lumpur

Kota Kinabalu: Pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dipercayai berhubung kerjasama membentuk kerajaan Persekutuan.

Pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu menjadi tumpuan berikutan petang ini gabungan parti politik yang memiliki sokongan majoriti perlu mengemukakan calon Perdana Menteri ke Istana Negara.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya hari ini turut mengesahkan 26 Ahli Parlimen daripada 30 yang memenangi kerusi pada PRU15, Sabtu lalu menyokong keputusan Majlis Tertinggi BN untuk bergabung dengan parti lain.

Sebahagian Ahli Parlimen BN termasuk bekas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat turut hadir pada pertemuan itu.

Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau mempunyai sokongan yang mencukupi untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri menerusi kerjasama dengan parti lain.

Di pihak Perikatan Nasional (PN) pula, sokongan turut diterima pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 termasuk daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Semalam, Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyatakan sokongan terhadap PN untuk membentuk kerajaan baharu persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|