PRU15: GRS sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10

PRU15: GRS sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata GRS turut menyokong pembentukan kerajaan persekutuan melalui kerjasama dengan PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti lain.

Katanya, pendirian itu dibuat susulan pertemuannya dengan Muhyiddin di Kuala Lumpur, semalam.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, 20 November 2022.

“GRS berpandangan adalah perlu pembentukan kerajaan persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan belanjawan untuk tahun 2023.

“GRS mengambil keputusan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN dan parti dari Sarawak iaitu GPS serta parti-parti lain yang bersedia untuk membentuk kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu, GRS memenangi enam kerusi Parlimen di Sabah, manakala rakan kerjasamanya di negeri ini, Barisan Nasional (BN) Sabah memenangi tujuh kerusi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|