Rebut peluang ekonomi, jana pendapatan guna ‘signature’ tempatan – Azizah

Rebut peluang ekonomi, jana pendapatan guna ‘signature’ tempatan – Azizah

Kota Belud: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun mengajak semua usahawan dan peniaga tempatan untuk menjadikan keluaran produk tempatan sebagai tarikan utama dalam perniagaan dan menjana ekonomi keluarga.

Katanya, usahawan tempatan perlu merebut peluang untuk meningkatkan pendapatan, ekonomi diri dan keluarga dengan menggunakan produk ‘signature’, iaitu produk tempatan yang dihasilkan di kawasan masing-masing.

“Misalnya di kawasan Kota Belud ini, banyak produk tempatan yang laris dan sentiasa menjadi jualan yang mampu memberi sumber pendapatan lumayan kepada peniaga dan usahawan.

“Antaranya sambal ikan masin, ikan liking, kuih penjaram dan ada lagi produk bukan makanan seperti parang, hasil kraftangan dan seni serta kuda padi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Outreach Bina Niaga Luar Bandar di Dewan Mini Restoran Pencarian Bersama, di sini, hari ini.

Menurut Azizah, usahawan dan peniaga tempatan khasnya di kawasan luar bandar perlu berani untuk mengambil peluang bagi menarik perhatian pengguna serta pembeli melalui teknologi.

“Walaupun kita usahawan dan peniaga yang berada di kawasan luar bandar, tetapi dengan adanya kelebihan teknologi dan perkembangan semasa saat ini, tidak mustahil jualan kita mampu menembusi pasaran luar.

“Usahawan di Kota Belud boleh jadikan platform dalam talian sebagai satu cabang untuk meluaskan perniagaan, membuat promosi perniagaan dengan lebih giat lagi, pasti hasilnya juga sangat menguntungkan dan berbaloi,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah berkata pihak MARA juga sudah mengenal pasti masalah utama yang dihadapi oleh usahawan setempat.

“Kita dapati usahawan tempatan kita ada produk yang bagus dan boleh dikomersialkan dan mengambil pendekatan ingin memajukan perniagaan usahawan tempatan melalui platform digital, MARA telah memperkenal program pendigitalan.

“Antaranya ialah Digitalbiz, program Bussiness Enrichment Standardization & Transformation (BEST), program PENJANA Bespoke dan PENJANA E-commerce yang akan membantu mengatasi masalah yang sudah dikenal pasti tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya MARA turut komited dalam melahirkan usahawan tempatan mahir melalui program Ekosistem Keusahawanan MARA di seluruh negara.

“Di Sabah, kita ada ‘role model’ yang sudah berjaya dan beliau adalah dari Kota Belud, Puan Norayati Karim yang juga pemilik Syarikat Arked Print yang menjalankan perniagaan pengiklanan dan percetakan di premis MARA sejak 2010 hingga kini.

“Beliau mendapat pembiayaan MARA sebanyak RM185,000 pada 2015 dan seterusnya RM250,000 pada pertengahan 2021.

“Beliau sangat aktif mengikuti kursus-kursus keusahawanan yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan MARA dan kini perniagaan yang beliau jalankan itu mampu menjana hasil pendapatan sebanyak RM300,000 setahun serta mempunyai enam pekerja mahir dan separuh mahir di syarikat beliau.

“Syukur, inilah kejayaan yang kita sangat banggakan dan inginkan,” katanya.

Tambah Azizah, MARA Sabah memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta yang turut melibatkan 500 peserta untuk Program Penjana E-commerce.

“Daripada jumlah itu, MARA Sabah mensasarkan penglibatan 60 peratus usahawan wanita terutama usahawan wanita luar bandar, golongan B40 dan juga ibu tunggal yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran E-commerce dan pemasaran digital bagi meningkatkan potensi dan pendapatan perniagaan mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|