JKDM rampas dadah RM2.547 juta sepanjang enam bulan pertama 2022

JKDM rampas dadah RM2.547 juta sepanjang enam bulan pertama 2022

Tawau: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas tiga jenis dadah bernilai keseluruhan RM2.547 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Julaiman Soimin berkata, tiga dadah yang berjaya dirampas adalah membabitkan jenis methapetamine, ketamin dan serbuk ketum dengan berat keseluruhan 617.82 kilogram.

Katanya, kejayaan rampasan itu adalah hasil usaha berterusan JKDM yang komited dalam menangani sebarang aktiviti melibatkan penyeludupan dadah.

“Sejak awal tahun ini, JKDM berjaya merampas dadah jenis methapetamine seberat 55.334 kilogram dan 10 kilogram ketamin.

“Selain itu, JKDM Sabah turut berjaya merampas serbuk ketum seberat 552.49 kilogram,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat JKDM Tawau, hari ini.

Julaiman berkata, usaha menangani kegiatan penyeludupan itu diteruskan lagi dengan Operasi Khas Narkotik ‘Joint Task Force’ Sempadan Laut Malaysia-Indonesia yang bermula 8 Jun hingga hari ini.

Katanya, operasi menumpukan semua sempadan laut kedua-dua negara membabitkan pintu-pintu masuk laut dan udara.

“Dalam operasi Joint Task Force ini, JKDM Sabah berjaya merekodkan enam kes dan merampas dadah jenis methapetamine seberat 10.69 kilogram yang dianggarkan bernilai RM366,878.

“Operasi turut berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat tujuh kilogram yang bernilai RM385,000 serta 315 kilogram daun ketum bernilai RM3,150,” katanya.

Julaiman berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 Akta Racun 1952.

Sehubungan itu, Julaiman menggesa orang ramai supaya membantu memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

Katanya, penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi hasil tetapi juga mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah ini boleh disalurkan kepada Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat JKDM berhampiran.

“Pihak JKDM memberi jaminan setiap identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|