Kota Marudu: Polis mencari lima saksi pendakwaan membabitkan kes jenayah kekerasan yang dibicarakan di Mahkamah Majistret, di sini, untuk hadir pada prosiding perbicaraan Ogos depan.
Kelima-lima individu terbabit ialah Haimi Tani, Syam Mubin, Alamani Nasalti, Jamaldi Annasi dan Sarata Nasir.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, kes berkenaan kini dibicarakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Katanya, kejadian berlaku sekitar Febuari 2020 di Pulau Lundayan, Pitas, membabitkan kes enam mangsa yang dibelasah seorang lelaki berusia 43 tahun.
“Kes membabitkan enam mangsa berusia lingkungan 19 hingga 60 tahun yang dipukul menggunakan objek keras oleh suspek.
“Seramai lima saksi etnik Palauh ini dikehendaki hadir bagi prosiding perbicaraan di mahkamah Majistret Kota Marudu pada 22 hingga 25 Ogos depan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Zairolnizal berkata, berdasarkan maklumat sebelum ini, semua saksi terbabit menetap di Pulau Lundayan, Pitas.
“Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd Zulkairi Md Daud di talian 013-8813013 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
-Deasoka