Rampasan ESSCOM RM18.3 juta sepanjang enam bulan pertama 2022

Rampasan ESSCOM RM18.3 juta sepanjang enam bulan pertama 2022

Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mencatatkan rampasan bernilai RM18.3 juta membabitkan operasi darat dan laut bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, kejayaan itu diperolehi hasil rampasan daripada 730,898 pemeriksaan yang dilaksanakan terhadap individu, kenderaan darat dan bot di kawasan laut.

Katanya, ia juga koordinasi operasi udara ESSCOM yang menjalankan sebanyak 377 rondaan menggunakan penerbangan pesawat milik agensi-agensi keselamatan.

Jonathan menyampaikan anugerah APC kepada anggota ESSCOM.

“Saya yakin melalui inisiatif kawalan keselamatan yang diterajui ESSCOM, keamanan dan keselamatan di kawasan Zon Selamat Sabat Timur (ESSZONE) kekal terjamin.

“Pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat digalakkan agar memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) ESSCOM 2021, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Komander ESSCOM, Hamzah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr Jamaluddin Mohd Ali.

Jonathan berkata, pihak ESSCOM sentiasa bersiapsiaga dalam usaha mengekang sebarang ancaman pencerobohan militan.

Katanya, ia juga termasuk usaha memantau anasir luar terutamanya di pantai timur Sabah melalui pelbagai operasi yang dijalankan.

“Operasi secara bersepadu bersama pasukan keselamatan di ESSZONE serta perkongsian maklumat perisikan dengan pihak berkuasa Filipina juga menyumbang kepada kejayaan yang dihasilkan,” katanya.

Jonathan berkata, kawasan ESSZONE juga kekal stabil dengan rekod tiada insiden keselamatan berlaku sejak Februari 2020 sehingga kini.

“Saya berharap rekod ini dikekalkan selaras dengan pembukaan sempadan negara dan kemasukan ramai pelancong ke pantai timur Sabah,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung majlis APC berkenaan, Jonathan turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima APC ESSCOM yang berjaya.

Katanya, menerusi pengiktirafan itu, ia akan menyuntik semangat dan mencetuskan inspirasi kepada semua warga ESSCOM untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|