Rakyat Tenom sudah lama tunggu pembinaan kompleks sukan – Jamawi Jaafar

Tenom: Kompleks Sukan Tenom yang kini dalam proses pembinaan diharap dapat disiapkan seperti dijadualkan bagi memenuhi harapan rakyat di daerah ini yang sudah lama menunggu kemudahan sukan berkenaan.

Pengerusi JJ Football Club, Jamawi Jaafar berkata jaminan kontraktor yang melaksanakan pembinaan kemudahan itu untuk mematuhi jadual ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan negeri diharap dapat direalisasikan.

Jamawi bersama kontrator meneliti pelan pembinaan Kompleks Sukan Tenom.

“Kompleks Sukan yang serba lengkap di daerah ini sudah sekian lama menjadi idaman penduduk di sini terutamanya golongan muda untuk menjalani aktiviti sukan dan riadah.

“Saya diberikan jaminan oleh kontraktor pelaksana yang mereka akan melaksanakan projek ini selari dengan jadual kerja yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya selepas meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan kompleks itu, di sini, semalam.

Mengimbau kembali sejarah perjuangan meminta Kompleks Sukan Tenom dinaik taraf, Jamawi yang juga bekas Ketua Penuda UMNO Tenom, berkata permohonan mengenainya diajukan kepada Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, Khairy Jamaluddin ketika merasmikan mesyuarat pergerakan Pemuda UMNO Tenom pada 2015.

“Alhamdulillah cadangan dan permohonan kita mendapat maklum balas yang positif daripada kerajaan Pusat yang mana ketika itu Khairy adalah Menteri Belia dan Sukan yang meluluskan permohonan berkenaan dan kini setelah hampir tujuh tahun menunggu projek ini akhirnya diluluskan dan sedang dilaksanakan,” katanya.

Jamawi menambah dengan siapnya kompleks sukan baharu itu, ia akan menjadi pusat riadah bagi masyarakat di Tenom selain menjadikan penganjuran pelbagai kegiatan sukan seperti perlawanan bola sepak dan kejohanan sukan tahunan sekolah lebih selesa berbanding sebelum ini.

“Insyallah saya akan sentiasa memantau kemajuan projek ini agar kualiti dan kemudahannya dapat dinikmati masyarakat Tenom,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|