Lima PBT meterai MoU pemasangan paparan digital

Kota Kinabalu: Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama pemasangan paparan pengiklanan digital di kawasan perkadaran masing-masing.

PBT terbabit ialah Majlis Daerah Tuaran (MDT), Majlis Daerah Keningau (MDK), Majlis Daerah Putatan (MDPTN), Majlis Daerah Penampang (MDPG) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Hajiji menyerahkan sumbangan YBS kepada badan-badan amal sempena majlis menandatangani MoU di antara YBS-Tenaga dan PBT.

MoU itu dimeterai bersama Yayasan Bumiputera Sabah Tenaga Sdn Bhd (YBS-Tenaga) pada satu majlis yang disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), petang semalam.

YBS-Tenaga ialah anak syarikat Yayasan Bumiputera Sabah (YBS) yang dipengerusikan Senator Datuk John Ambrose.

Pada majlis itu, John bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) YBS, Asno Amat Muda mewakili YBS-Tenaga menandatangani MoU berkenaan, manakala lima PBT terbabit masing-masing diwakili Pengerusi dan Setiausaha Eksekutif Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran.

MoU itu berkaitan pelaksanaan Projek LED Advertising Screen yang dikendalikan YBS-TENAGA bersama usahawan Bumiputera iaitu Yunus Property Consultant Sdn Bhd dan rakan kerjasama lain.

YBS-Tenaga turut menandatangani memorandum perjanjian (MOA) bersama Yunus Property Consultant Sdn Bhd dan OCK Berhad.

Sempena majlis itu, Hajiji turut menyerahkan sumbangan YBS kepada tujuh badan amal iaitu Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Putatan, Rumah Anak Yatim Tambunan, Rumah Anak Yatim dan Miskin Tuaran, Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad Ranau, Persatuan Pengurusan Pusat Jagaan OKU Leshan, Pusat Anak Yatim dan Fakir Miskin Al Ain Keningau serta Rumah Anak Yatim As Sakinah Papar.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|