Bazar Ramadan UMS beri peluang pelajar berniaga

Kota Kinabalu: Pembukaan Bazar Ramadan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, membuka ruang kepada pelajar universiti itu berniaga dan menjana pendapatan.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata bazar berkenaan menjadi platform kepada pelajar untuk menimba pengalaman dan mengasah bakat dalam bidang keusahawanan.

Taufiq menggaul bubur lambuk sempena pelancaran Bazar Ramadan UMS.

“Program ini bertepatan dengan usaha UMS untuk menerapkan kemahiran insaniah sebagai persiapan memasuki dunia sebenar pekerjaan apabila tamat pengajian kelak.

“Kita ingin melihat pelajar bukan hanya menjadi kakitangan kepada orang lain tetap juga menjadi majikan atau ‘taukeh’ besar suatu hari nanti,” katanya selepas menyempurnakan Bazar Ramadan UMS, semalam.

Seramai 28 peserta menyertai bazar berkenaan yang terdiri daripada pelajar, ahli alumni UMS dan beberapa peniaga luar sejak bermula Ramadan awal bulan ini.

Program selama sebulan itu dianjurkan Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) UMS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah.

Dalam pada itu, Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid, berkata penganjuran Bazar Ramadan UMS itu diharap dapat menerapkan komuniti usahawan dalam kalangan pelajar UMS.

“Kita juga berharap, program seumpama ini akan berterusan melalui kerjasama dengan pihak UMS sekali gus meningkatkan usahawan dalam bidang agromakanan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|