Lelaki kurang siuman buat hal…

Semporna: Tindakan pantas orang awam memadamkan api kebakaran berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada terus terbakar dalam kejadian di Jalan Bugaya, Kampung Labuan Senang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, kebakaran dikatakan berpunca daripada seorang lelaki kurang siuman yang mencabut hos tong gas memasak.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera segera dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran hanya melibatkan bahagian dapur tempat memasak yang terbakar kira-kira lima peratus dan api berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

“Pasukan Bomba kemudiannya membuat pemeriksaaan di kawasan kebakaran untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan saksi di tempat kejadian mendakwa kebakaran berpunca daripada perbuatan orang kurang siuman yang mencabut hos tong gas memasak berkenaan.

Katanya, suspek berjaya ditangkap oleh pihak polis di tempat kejadian dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.40 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|