Penunggang motosikal maut

Tawau: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Kuhara, berhampiran susur keluar ke Jalan Melati, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, lelaki berusia 65 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku ketika seorang wanita yang memandu pacuan empat roda menuju ke Jalan Chong Thien Vun.

Katanya, ketika menghampiri susur keluar menghala ke Jalan Melati, motosikal yang ditunggang lelaki terbabit secara tiba-tiba keluar dari arah sebelah kanan.

“Wanita itu cuba mengelak namun jarak yang terlalu dekat menyebabkan dia merempuh motosikal mangsa sehingga terseret sejauh hampir tiga meter.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Besar Tawau oleh kenderaan ambulans untuk proses bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit tidak memiliki lesen memandu.

“Polis daripada Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|