Kota Kinabalu: Syarikat penerbangan digesa supaya mengkaji semula pendekatan menaikkan harga tambang setiap kali menjelang cuti perayaan dengan alasan menerima permintaan yang tinggi.
Pengerusi Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata syarikat penerbangan tidak sepatutnya menaikkan harga tiket domestik sesuka hati, terutama pada musim perayaan.
Katanya, tindakan itu sangat membebankan pengguna terutama penduduk Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung dan hanya berpeluang pulang setahun sekali menjelang musim perayaan.
Jelasnya, lebih menyedihkan kebanyakan mereka sudah lama tidak balik kampung akibat pandemik Covid-19 tetapi hasrat untuk balik terhalang disebabkan tiket penerbangan yang mahal setelah negara membuka semula sempadan dan beralih fasa peralihan ke endemik.
“Anak perantau sudah berpeluang pulang ke sisi keluarga, bertemu saudara mara untuk sama-sama berpuasa dan pulang beraya, namun kecewa kerana ramai tidak mampu disebabkan kos tiket penerbangan yang terlampau mahal.
“Dari Kuala Lumpur atau Pulau Pinang, ingin pulang ke Borneo, fikir banyak kali sebab mereka tidak mampu, harga tiket penerbangan yang begitu melampau, keadaan ini menyedihkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
David berkata peralihan ke endemik setelah sekian lama bergelut dengan pandemik Covid-19 adalah berita gembira untuk rakyat, terutama mereka yang sudah lama tidak berjumpa keluarga.
“Covid-19 kini beransur baik, ekonomi kita juga sedang mula ‘sembuh’ dan pulih, bagaimana pula perkara sebegini (peningkatan harga tiket penerbangan) boleh berlaku secara keterlaluan, tanpa memikirkan kesan kepada pengguna, kepada anak-anak kita yang bekerja atau belajar jauh.
“Kebanyakan daripada mereka tidak mampu kerana bukan orang senang, bayangkan jika kos penerbangan yang keterlaluan ini, menjadi sebab, sekali lagi anak-anak kita yang jauh ini terpaksa bersendirian di perantauan berhari raya, sedih, saya sungguh tidak dapat bayangkan sebab saya sendiri merasakan isu ini adalah isu yang tidak wajar untuk berlaku,” katanya.
Jelas David, kos tiket penerbangan yang meningkat secara mendadak bagi penerbangan domestik adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan perlu diteliti semula oleh pihak berwajib.
Katanya, kerajaan perlu melihat perkara itu dengan serius bagi memastikan syarikat penerbangan tidak meletakkan tambang yang membebankan dalam usaha untuk menjana pendapatan setelah beberapa lama tidak dapat beroperasi seperti biasa.
“Kerajaan perlu lihat perkara ini dengan sangat serius, tolonglah fahami keadaan dan keperluan serta keperitan rakyat di bawah, yang sekian lama bertahan berjauhan dari keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, David turut menyeru syarikat penerbangan untuk tidak bersikap mementingkan diri dan rakus.
“Boleh mahu berniaga dan menjana pendapatan, untuk menggantikan semula segala apa yang telah berlaku selama kita bersama berdepan Covid-19, namun jangan sampai bersifat zalim, menyiksa pengguna penerbangan domestik yang mahu balik kampung berjumpa keluarga.
“Lainlah jika penerbangan antarabangsa, mau mahal, mahal lah tidak mengapa, sebab melancong ke luar negara adalah kemampuan yang luar biasa untuk mereka yang tidak mempunyai masalah kewangan dan ekonomi.
“Bagi penerbangan domestik, adalah sangat tidak wajar, tolong peka dan faham keadaan pengguna kita,” katanya.
-Deasoka