Enam ditahan bersama lori muatan petrol bernilai lebih RM500,000

Lahad Datu: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam lelaki dan merampas 60,000 liter minyak petrol serta tiga lori bernilai keseluruhan RM534,144, semalam.

Dalam operasi di Kampung Bangkarat, Tungku, di sini, jam 11.30 pagi itu, semua minyak petrol berkenaan didapati dibawa tanpa permit sah dan dipercayai cuba diseludup.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, kegiatan berkenaan dikesan ketika pihaknya menjalankan tugas rondaan Op Cegah Pati (OCP) di kawasan berkenaan bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom,) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, hasil pemeriksaan, semua suspek berusia 23 hingga 54 tahun gagal mempamerkan permit sah untuk mengendalikan minyak petrol berkenaan.

“Semua suspek termasuk seorang warga Filipina terus ditahan bersama tiga lori dan sebuah pacuan empat roda.

“Turut dirampas, tiga gulung hos minyak, satu gulung tali kapal dan lapan gelen tong minyak diesel,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nilai minyak petrol yang dirampas RM123,000 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan RM534,144.

“Semua suspek kini ditahan di Balai Polis Tungku dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama barang rampasan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|