Jaujan keliru mengenai IC Sabah – Pemuda SAPP

Jaujan keliru mengenai IC Sabah – Pemuda SAPP

Kota Kinabalu: Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) menyifatkan Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Jaujan Sambakong, keliru atau kurang memahami objektif IC Sabah.

Ia berikutan kenyataan Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, baru-baru ini yang mengatakan pengeluaran IC Sabah bukan penyelesaian kepada isu dokumen pengenalan diri meragukan.

Ketua Pemuda SAPP, Jamain Sarudin, berkata jika Jaujan tidak memahami konsep IC Sabah, beliau seharusnya bertanya atau mendapatkan maklumat terperinci mengenainya.

“Sekiranya Jaujan tidak jelas cara kerjanya atau benar-benar tidak faham konsep itu, beliau berpeluang bertanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila cadangan itu dibentangkan oleh Datuk Yong Teck Lee.

“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Sabah telah mendedahkan percanggahan dan kewujudan besar-besaran kerakyatan yang meragukan dikeluarkan kepada pendatang tanpa izin di bawah Projek IC.

“Ini telah menunjukkan kepada kita bahawa sistem yang sepatutnya kita percayai telah dikompromi, disalahgunakan dan gagal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, atas sebab itu cadangan melaksanakan usul IC Sabah disuarakan pada persidangan DUN baru-baru ini supaya ia digubal sebagai jaminan perlindungan hak anak-anak Sabah.

Dakwanya, ramai pendatang tanpa izin diberikan kewarganegaraan dengan status kelahiran Sabah ‘-12-‘ dalam kad pengenalan mereka melalui Projek IC yang terkenal.

Jelasnya, dokumen itu membolehkan golongan terbabit menikmati keistimewaan anak negeri atau Bumiputera dan ia adalah contoh jelas pelanggaran undang-undang di bawah Akta Imigresen dan Pasport negara.

“Adalah aneh bahawa Jaujan meragui IC Sabah dan ia akan disalahgunakan. Saya pasti dia tahu bahawa Projek M atau Projek IC (pemberian kerakyatan secara sistematik kepada pendatang) telah diwujudkan dan dimanipulasi untuk mengubah demografi negeri ini dan mengubah corak pengundian dalam pilihan raya.

“Sebab itu IC Sabah perlu dilaksanakan, kita perlu memberi jaminan dan perlindungan kepada anak-anak Sabah khususnya,” katanya.

Beliau berkata, antara mekanisme yang dicadangkan menerusi IC Sabah untuk menentukan kelayakan pemohon ialah melalui pengesahan Mahkamah Anak Negeri, institusi pendidikan dan pusat kesihatan atau hospital.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|