Tuaran: Asisten Superintendan Raji Hussin Suhodin dilantik untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran, berkuatkuasa hari ini.
Raji yang sebelum ini bertugas Timbalan Ketua Polis Daerah Tuaran, dinaikkan pangkat ke jawatan berkenaan selepas Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan.
Mengikut rekod, Mohd Hamizi yang turut dinaikkan pangkat sebagai Superintendan berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Tuaran sejak Mei 2019.
Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, beliau amat berterima kasih atas sokongan semua pihak dalam membantu menjayakan tugas sebagai Ketua Polis Tuaran sebelum ini.
Katanya, beliau tidak akan mampu bekerja seorang tanpa sokongan dan kerjasama seluruh pasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tuaran.
“Tanpa sokongan semua pihak, polis Tuaran tidak akan mencapai kejayaan dan tidak mampu untuk mengekalkan kesejahteraan masyarakat di daerah ini”.
“Pelbagai kenangan kita lalui dalam membanteras jenayah termasuklah ketika berdepan situasi pandemik Covid-19 ketika
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu tidak akan dilupakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas yang diadakan di Glorious Hall, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah selain turut dihadiri Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin dan Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain dan seluruh anggota dan pegawai IPD Tuaran.
-Deasoka