Peruntukan projek landskap perlu ditambah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan menimbang kemungkinan untuk menambah peruntukan dan kemudahan bagi melaksanakan projek landskap di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata langkah itu bagi menambah baik landskap dan keindahan kawasan PBT masing-masing.

Masidi menerima kunjungan hormat delegasi Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM).

“Kerajaan negeri akan menimbangkan untuk menambah pembiayaan dan kemudahan projek landskap bagi meningkatkan kualiti projek landskap di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) yang diketuai Naib Presidennya, Prof Madya Dr Nor Atiah Ismail, di pejabat kementeriannya, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Majlis ILAM, LAr Liew Ying Yie; Presiden ILAM Sabah, LAr Eric Ye Lee Tsen; Naib Presidennya, LAr Cheryl Tsen Yee Ling dan Setiausahanya, LAr Fadzliah Busu.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Stanley Chong; Penolong Setiausaha (Landskap), Hasnah Dousin dan Arkitek Landskap, Emmily Dessy Roipin.

Masidi berkata, pembangunan landskap di setiap PBT di Sabah penting dalam usaha mewujudkan persekitaran hijau dan sejahtera.

“Melalui peranan profession arkitek landskap dapat memberi suntikan kepada pembangunan landskap bagi penyediaan kawasan lapang yang teratur, berkualiti dan selamat digunakan oleh masyarakat di Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyokong mengenai perlunya satu akta berkaitan profession arkitek landskap diwujudkan di negara ini.

Jelasnya, usaha meningkatkan industri dalam semua profesion di Sabah penting bagi sama-sama membangunkan negeri ini selaras pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|