Kota Kinabalu: Tiada lagi had kapasiti penonton untuk hadir menyaksikan perlawanan Liga Super di antara Sabah FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas, di sini, Ahad ini.
Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada penetapan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal sebelum, semasa dan selepas perlawanan.
Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah berkata, keputusan kebenaran itu dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, menerusi surat rasmi yang dikeluarkan kepada Sabah FC, semalam.
Namun, katanya hanya 1,000 tiket dijual secara fizikal mengikut harga sama iaitu 400 tiket untuk tempat duduk grandstand yang dijual pada harga RM39.14, manakala bakinya untuk tempat duduk zon lain.
“Bagi zon Old Fortres, sebanyak 300 tiket dijual pada harga RM28.84 dan bagi zon ‘PT’ dan ‘Score Board’ pula keseluruhan sebanyak 300 tiket dijual pada harga RM18.60.
“Perlawanan dijadualkan akan bermula pada jam 9.15 malam dan penyokong dibenarkan masuk ke stadium bermula jam 7.30 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, seorang individu hanya dibenarkan membeli empat keping tiket namun perlu membawa senarai nama dan nombor telefon penonton dalam format excel.
“Penjualan tiket fizikal dibuka bermula jam 10 pagi hingga 4 petang setiap hari, di pejabat Sabah FC di Batu 2, Jalan Tuaran, di sini, manakala selebihnya dijual secara dalam talian.
“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pegawai Sabah FC, Stella di talian 016-8503834,” katanya.
Sementara itu, Shamsuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkata, pihak SAFA tetap memandang serius aspek pematuhan SOP berkaitan pencegahan Covid-19.
“Kita sekali lagi ingin mengingatkan penonton yang hadir supaya memakai pelitup muka sepanjang perlawanan namun aktiviti makan minum ketika berada di stadium dibenarkan.
“Penonton juga tidak dibenarkan membawa botol minuman, payung dan helmet masuk ke dalam stadium,” katanya.
Menurutnya, pihak MFL juga membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah masuk dengan membeli tiket dan ditemani atau dipantau ibu bapa serta penjaga yang lengkap menerima vaksinasi Covid-19 masuk ke stadium.
“Penonton juga perlu menjaga penjarakan fizikal, duduk di tempat yang disediakan dan larangan berkumpul beramai-ramai.
“Kita berharap semua penyokong Sabah FC kekal berdisiplin serta mematuhi SOP yang ditetapkan,” tegasnya.
-Deasoka