RM1.73 juta untuk program perkasa belia, kempen anti dadah Majlis Belia Sabah 

Kota Kinabalu: Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) negeri meluluskan RM1.73 juta kepada Majlis Belia Sabah (MBS) untuk melaksanakan program pemerkasaan belia dan kempen kesedaran penyalahgunaan dadah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia selaras dengan objektif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berkaitan pembangunan modal insan dan golongan belia sebagai aset penting negeri ini.

Hajiji mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) bagi tahun ini.

“Kita berharap semua program itu akan diselaraskan dengan Kementerian Belia dan Sukan negeri serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat pertama MTMD bagi tahun ini, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu; Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Mohd Halim Khalid; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Shapii Ahmad; Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Sabah, Nani Sikin.

Pada mesyuarat itu, sejumlah RM464,000 turut diluluskan kepada AADK Sabah untuk menjalankan kempen kesedaran awam melalui pengiklanan papan iklan di 32 lokaliti di seluruh negeri.

AADK turut memaklumkan kepada MTMD berhubung isu tapak cadangan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu di pantai timur yang sudahpun selesai iaitu di Batu 36, Balung, Tawau.

Terdahulu, Hajiji berkata Likas diisytiharkan sebagai kawasan hijau pada tahun lalu berikutan arahan MTMD agar pihak berkuasa yang berkaitan mengambil tindakan proaktif membebaskannya daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.

Katanya, usaha berterusan juga perlu dilakukan untuk memastikan Likas kekal sebagai kawasan hijau aktiviti penyalahyunaan dadah.

“Tahun lalu sebanyak 12 kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah dikenal pasti di Sabah dan kita memutuskan perhatian perlu diberikan kepada Likas, Luagan di Keningau serta Labuan (Zon Satu).

“Pada tahun ini, kita akan terus menumpukan usaha kepada Luagan di Keningau dan Labuan,” katanya.

Hajiji mengulangi gesaannya agar Pegawai Daerah yang dilantik sebagai penyelaras kawasan berisiko tinggi di peringkat daerah untuk memastikan kawasan terbabit dihijaukan.

“Sebagai pengerusi MTMD daerah, Pegawai Daerah perlu mengambil tindakan membanteras dadah yang mengancam kawasan masing-masing,” katanya.

Mengenai lapan kawasan lain, Hajiji berkata perhatian juga akan diberikan untuk memastikan isu penagihan dadah dan gejala sosial dapat dikawal.

Jelasnya, MTMD adalah platform penting untuk membincangkan isu berkaitan penyalahgunaan dadah dan mencari langkah penyelesaian.

“Dadah kekal sebagai ancaman nombor satu negara. Kita akan terus menumpukan usaha untuk membanteras gejala sosial ini,” katanya.

Mesyuarat hari ini membincangkan dua cadangan iaitu memperkasa publisiti kesedaran awam oleh AADK negeri dan memperkasakan potensi belia oleh Majlis Belia Sabah.

AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi taklimat mengenai status program pembasmian dadah bersepadu dan senario dadah di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|