Kota Kinabalu: “Apa sahaja yang terbaik untuk menangani isu bekalan air di Sabah kita (kerajaan) akan laksanakan. Namun begitu, perlu diingat hari ini kita merancang agak mustahil esok boleh kita laksanakan. Ini bukan cerita Lampu Ajaib Aladdin,”.
Itu antara maklum balas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung tuduhan kononnya beliau selaku Menteri Kerja Raya dan kerajaan seolah-olah tidak melakukan sesuatu untuk menangani isu air di negeri ini.
Sebaliknya, Bung Moktar menegaskan kerajaan negeri sentiasa peka terhadap isu gangguan bekalan air yang berlaku hampir di semua daerah dan menjejaskan keselesaan rakyat negeri ini sejak sekian lama.
Beliau juga mengingatka bahawa isu itu bukan sahaja berlaku ketika pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah -Barisan Nasional (GRS-BN) sekarang, malah diwarisi daripada kerajaan terdahulu termasuk kerajaan Parti Warisan (WARISAN) bersama sekutunya.
Katanya, isu gangguan bekalan air di negeri ini berlaku akibat permintaan yang semakin tinggi selain diburukkan masalah Loji Rawatan Air (LRA) yang tidak dapat berfungsi dengan baik disebabkan bekalan air sungai tidak konsisten dan tercemar.
Selain itu, katanya berlaku juga masalah kebocoran paip utama yang dibina sejak zaman pentadbiran Britisih dan tidak pernah ditukar, selain kegiatan penyambungan haram paip atau mencuri air, menyebabkan gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan.
“Namun demikian, kerajaan negeri melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak berdiam diri atau berpeluk tubuh terhadap masalah ini. Pelbagai tindakan jangka pendek dan jangka panjang dirancang dan dilaksanakan untuk mengatasinya.
“Tindakan jangka pendek kita membuat catuan bagi membolehkan agihan dapat dilakukan agar penduduk yang terlibat tidak terus terjejas. Bantuan penghantaran bekalan air bersih juga dilakukan oleh pihak JANS jika keadaan semakin kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai maklum balas terhadap hantaran di laman sosial Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang dari DAP, Phoong Jin Zhe berhubung gangguan bekalan air, di sini, hari ini.
Dalam kenyataan itu, Jin Zhe seolah-olah menuduh kerajaan dan menteri tidak melakukan sesuatu untuk menangani isu air tetapi lebih banyak bercakap mengenai soal kontrak ladang dan kontrak kereta api.
Bung Moktar berkata, Jin Zhe harus sedar ketika kerajaan WARISAN sebelum ini yang mana DAP juga berada dalam barisan kerajaan ketika itu, isu bekalan air sudah berlaku namun mereka juga gagal melakukan sesuatu untuk memperbaiki bekalan air di Sabah.
Tambahnya, untuk jangka masa panjang kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhdmatan Air Sabah yang menjadi antara inisiatif dalam halatuju kerajaan negeri sekarang.
Perkara itu katanya, sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri,malah turut dicadangkan ialah untuk menswastakan perkhidmatan bekalan air di Sabah.
Beliau turut mengingatkan Jin Zhe agar tidak memutar belit isu air dengan isu lain seperti ‘sky train’ dan kasino kerana itu bukanlah perkara pokok.
“Sebagai wakil rakyat saya harap beliau (Jin Zhe) bersikap profesional, tidak menutup pemikiran atau hilang akal semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri dan mengambil kredit politik,” katanya.
-Deasoka