PRU15: Senarai calon GRS sudah ada, umum sebelum penamaan calon

PRU15: Senarai calon GRS sudah ada, umum sebelum penamaan calon

Kota Kinabalu: Senarai pendek calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) sudah ada, kata Ketua Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut beliau yang juga Pengerusi GRS, senarai calon gabungan itu akan diumumkan sebelum hari penamaan calon tidak lama lagi.

“Kita sudah menyenarai pendekkan calon dan kita akan umumkan sebelum hari penamaan calon.

“Kita sudah sampai ke senarai akhir untuk kita mengetengahkan calon-calon yang boleh menang, diterima rakyat dan boleh memberi khidmat setelah memenangi PRU nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-25, Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) di Sabah International Convention Centre, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Barisan Nasional (BN), beliau menegaskan bahawa pihaknya berpegang teguh kepada persefahaman yang telah dimaterai pada 8 Januari 2021.

Menurut beliau, landskap politik di Sabah adalah berbeza dan unik berbanding landskap politik di peringkat Persekutuan.

“Saya telah nyatakan kepada pimpinan di peringkat Persekutuan, sama ada BN atau Perikatan Nasional (PN), jangan ganggu kita di Sabah.

“Kita pegang kepada persefahaman dan janji ini, kerana kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah, buat apa kita bergaduh?,” katanya.

Tambah Hajiji, apa yang diinginkan adalah satu keadaan yang stabil agar kerajaan dapat merancang serta melaksanakan program-program di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|