Labuan: Sembilan kru bot tunda terselamat selepas bot berkenaan hampir karam akibat mengalami kebocoran dalam kejadian di kedudukan 0.9 batu nautika barat laut Pulau Daat, di sini, awal pagi tadi.
Bot tunda yang dalam perjalanan dari Johor ke Labuan mengalami kebocoran pada bahagian bilik jentera utama sebelum bertindak menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan, jam 4.15 pagi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, sejurus menerima laporan berkaitan kejadian itu, dua aset Maritim Malaysia digerakan ke lokasi kejadian.
“Dua aset Maritim Malaysia iaitu sebuah kapal dan bot peronda yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera telah dikerahkan ke lokasi berkenaan.

“Semua kru yang berusia lingkungan 29 hingga 50 tahun dipindahkan ke aset Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua kru kemudian dibawa ke jeti untuk tindakan selanjutnya.

“Semua kru bot tunda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, katanya, Maritim Malaysia mengingatkan orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut ke talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.
-Deasoka