PRU-15: GRS jamin tiada pertembungan dengan BN

PRU-15: GRS jamin tiada pertembungan dengan BN

Kota Kinabalu: Tiada pertembungan kerusi di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara itu ditekankan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menegaskan bahawa kedua-dua pihak sudah membuat persefahaman tidak boleh bertanding melawan antara satu sama lain.

“Di mana calon GRS bertanding, BN kena sokong dan di mana calon BN bertanding, GRS kena sokong, itu prinsip kerjasama.

“Kita mesti ada satu jajaran atau konsep politik di Sabah ini, kerana kita sudah sekian lama bergaduh, jadi saya harap tidak perlu berlawan-lawan.

“Dalam pilihan raya ini, musuh politik utama kita ialah pihak pembangkang, iaitu Warisan, DAP, Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain,” katanya ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-25, Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku petembungan di antara calon GRS dan BN pada PRU-15.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda yang bertindak keluar BERSATU, Hajiji berkata tindakan sewajarnya akan diambil.

“Terpulang kepada kerajaan, kerana beliau merupakan seorang Pembantu Menteri jadi kita akan mengambil suatu pendekatan ataupun tindakan yang sewajarnya. Bagaimanapun, apakah tindakan itu saya belum dapat beritahu, nantilah jika saya sudah buat ketetapan,” katanya.

Tambah Hajiji, sehingga kini, beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi surat khabar dan media sosial sahaja.

“Tetapi dalam politik, kita sudah boleh mengandaikan atau menganggap ia sebagai satu pendirian yang telahpun beliau tetapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|