SPR akan jelaskan isu peningkatan mendadak pengundi Sabah – Hajiji

SPR akan jelaskan isu peningkatan mendadak pengundi Sabah – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan peningkatan mendadak jumlah pengundi di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, SPR dijangka akan mengadakan sesi taklimat mengenai isu itu dalam masa terdekat ini.

Katanya, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu selagi belum mendapat penerangan daripada pihak SPR.

“Kita akan mendapat maklumat dan taklimat daripada Pengarah SPR dalam masa terdekat ini kerana kita mahu tahu juga mengenai bilangan pengundi yang mana sesetengah pihak merasa ragu kerana adanya peningkatan secara mendadak.

“Setelah kita mendapat taklimat penerangan dan penjelasan barulah kita boleh membuat komen,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-25, Yayasan Sabah College of Technology (YSCT), di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, pihaknya hanya mengetahui perkara itu daripada beberapa pihak yang menyuarakan keraguan mereka terhadap isu lonjakan jumlah pengundi di negeri ini.

“Oleh itu, perlu ada penerangan lanjut daripada pihak SPR kerana sekarang mereka menggunakan sistem pendafataran secara automatik, di mana apabila seorang individu itu mencapai umur 18 tahun, dia akan didaftarkan sebagai pengundi.

“Kita tidak tahu, mungkin ada individu terdahulu yang sudah mencecah umur 18 atau 21 tahun yang belum mendaftar.

“Namun, saya tidak boleh menyatakan sesuatu sehingga ada penjelasan dan penerangan lanjut daripada pihak yang berkenaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai mengarahkan bahagian-bahagian parti mengambil inisiatif untuk meneliti daftar pemilih secara menyeluruh dan memastikan identiti pengundi baharu.

Jelasnya, cadangan itu dibuat susulan kebimbangan mengenai kemungkinan adanya pengundi tidak sah yang muncul daripada pendaftaran automatik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|