Lebih RM1 bilion belanja PRU-15, PRK Bugaya

Lebih RM1 bilion belanja PRU-15, PRK Bugaya

Kota Kinabalu: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dianggar memerlukan peruntukan RM1.01 bilion.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata peruntukan itu bagi mengendali kedua-dua proses pilihan raya yang membabitkan seramai 363,515 petugas.

Katanya, sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi/saluran.

“PRU Ke-15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU Ke-15 dan PRK DUN Bugaya adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober 2022.

“DPPR bagi PRU Ke-15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“DPPR bagi PRU Ke-15 dijadualkan akan mula dijual pada 31 Oktober 2022 (Isnin),” katanya.

Beliau berkata pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Katanya, semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober 2022 (Isnin).

Mengenai proses penamaan calon, Abdul Ghani berkata bakal calon boleh mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang di Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum hari penamaan calon pada 5 November depan.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“Walau bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|