PRK Bugaya serentak PRU-15

PRK Bugaya serentak PRU-15

Kota Kinabalu: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya itu dijadualkan pada 5 November, diikuti Hari Mengundi Awal pada 15 November dan Hari Mengundi Biasa pada 19 November depan.

Tarikh keluar writ pilihan raya pula pada hari ini, 20 Oktober 2022.

Katanya, PRU-15 diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung pembubaran Parlimen Ke-14 pada 11 Oktober lalu.

“SPR juga menerima surat pemakluman berhubung pembubaran DUN di tiga negeri iaitu Pahang dan Perlis pada 14 Oktober serta Perak pada 17 Oktober daripada Speaker DUN masing-masing.

“Seterusnya pemakluman rasmi juga diterima daripada Speaker DUN Sabah setelah Proklamasi Darurat (No3) dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No3) dibatalkan, mengenai kekosongan DUN Bugaya, Sabah pada 12 Oktober 2022.

“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu PRU Ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, serta 42 kerusi DUN Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak.

“Pada masa yang sama, PRK DUN Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 5 November 2022 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam, 18 November 2022 (Jumaat).

Sementara itu, beliau berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara dibuka bermula 10 Oktober 2022 (Isnin) untuk PRU Ke-15 dan dari 13 Oktober 2022 (Khamis) bagi PRK DUN Bugaya, Sabah.

Katanya, tarikh tutup bagi kategori 1A(Petugas Pilihan Raya, Ahli / Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media ialah pada 2 November 2022, diikuti kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) pada 23 Oktober 2022 dan kategori 1C (Agensi / Organisasi) pada 26 Oktober 2022.

“Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi / Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|