Kempen derma darah CPS sasar 1,200 pain darah

Kempen derma darah CPS sasar 1,200 pain darah

Kota Kinabalu: Kempen Derma Darah Centre Point Sabah (CPS) yang bertemakan We Love, We Care, We Give, akan dianjurkan pada 12 November depan dengan menyasarkan kutipan 1,200 pain darah.

Kempen berkenaan akan dijalankan di dua lokasi iaitu di tingkat bawah CPS dan tingkat 4, Palm Square bermula jam 8.30 pagi hingga 9.30 malam.

Kempen derma darah CPS sasar kumpul 1,200 pain darah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan CPS berkata, kempen derma darah berkenaan adalah hasil kerjasama Centre Point Sabah dan Lions Club of KK Mandarin.

Katanya, ia bertujuan untuk mengumpul 1,200 pain darah terutamanya kepada penderma darah tetap yang sebelum ini sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Kempen Derma Darah CPS.

“Selain itu, kempen ini juga adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai amalan murni yang mampu menyelamatkan nyawa melalui derma darah.

“Setiap penderma darah yang berjaya layak mendapat satu beg penuh dengan saguhati yang disumbangkan oleh penaja-penaja dan ia berkonsepkan siapa cepat dia dapat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, antara tarikan kempen berkenaan adalah tajaan baucar penginapan dua hari satu malam di Hotel Mercure Bandaraya Kota Kinabalu termasuk sarapan pagi untuk dua orang dan makan malam untuk dua orang bernilai RM 300.

Katanya, kempen derma darah itu juga menerima dua baucar Makanan dan Minuman Percuma untuk Chef’s Tea Delight di Piano Lounge untuk dua orang oleh Hotel Grandis.

“Manakala, Hotel Le Meridien juga menaja baucar Makan Malam Bufet Hujung Minggu untuk dua orang.

“Selain itu, kempen derma darah ini juga menerima sokongan oleh pelbagai pekedai di pusat membeli-belah Centre Point Sabah,” katanya.

Menurutnya, di samping itu, terdapat 23 penganjur bersama yang menyertai kempen ini iaitu Hospital Queen Elizabeth 1; Hospital Queen Elizabeth 2; Hospital Wanita & Kanak-Kanak Likas; Hospital Kudat; Hospital Beaufort; Hospital Ranau; Hospital Tambunan dan Hospital Keningau serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Penampang.

“Ia juga disertai Kelab Lions KK Centennial; Kelab Lions Tanjung Aru; Lions Club of Tuaran; Persatuan Alumni Taiwan Sabah; Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah KK; Persekutuan Persatuan Wanita Cina Sabah; Persatuan Kebajikan Cina Sabah dan Persatuan Puak KK Zhang serta Persatuan Komuniti Perniagaan (ABC).

“Selain itu, kita turut mendapat sokongan Persatuan Pemandu Pelancong Sabah; Kelab Lions Ranau; Kelab Lions KK Lintas; Kelab Lions KK Capital dan Lions Club of Kota Kinabalu Asia City,” katanya.

Menurutnya, Kempen Derma Darah CPS boleh diikuti di halaman Facebook rasmi pusat beli-belah Centre Point Sabah.

“Untuk maklumat lanjut dan tajaan Kempen Derma Darah CPS, orang ramai boleh menghubungi Cik Thecla di talian 011-741 287845,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|