MASwings tamatkan penerbangan Tawau-Tarakan mulai 30 Oktober

MASwings tamatkan penerbangan Tawau-Tarakan mulai 30 Oktober

Kota Kinabalu: MASwings akan menamatkan operasi penerbangan bagi laluan antarabangsanya yang menghubungkan Tawau dengan Tarakan di Kalimantan Timur, Indonesia berkuatkuasa 30 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasi MASwings, Kapten Nasaruddin A Bakar, berkata keputusan itu dibuat berikutan penangguhan penerbangan ke negara jiran itu sejak 22 Mac 2020.

Beliau berkata ketika itu penerbangan tiga kali seminggu Tawau-Tarakan dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan antarabangsa bagi membendung penularan Covid-19.

“Selepas melakukan semakan perniagaan secara terperinci, kita terpaksa mengambil keputusan yang sukar untuk menamatkan operasi MASwings ke Tarakan.

“Walaupun usaha diambil berikutan pembukaan semula sempadan untuk mengekalkan operasi, namun situasi pengoperasian sangat mencabar dan tidak lagi memberi keuntungan komersial untuk MASwings kembali beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sejak memulakan operasi ke Tarakan pada Februari 2012, MASwings merekodkan jumlah pengisian penumpang pesawat pada kadar sederhana membolehkannya mengekalkan operasi di laluan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya krisis COVID-19 yang memberi kesan kepada perniagaan dan ekonomi global khususnya syarikat penerbangan turut dialami MASwings.

“Kemerosotan permintaan pengembaraan disebabkan larangan dan ketidakpastian perjalanan walaupun selepas pasaran secara beransur-ansur menunjukkan pemulihan memberi kesan yang besar terhadap keupayaan MASwings untuk meneruskan operasi ke Tarakan.

“Berikutan itu, MASwings merekodkan terima kasih dan penghargaan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan yang menyokong MASwings serta operasinya ke Tarakan sejak 2012,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|