Park Taesu kekal bersama Sabah dua tahun lagi

Park Taesu kekal bersama Sabah dua tahun lagi

Kota Kinabalu: Pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu sekali lagi dikekalkan dalam pasukan skuad Sang Badak untuk kempen Liga Super musim depan.

Menariknya, bukan setakat semusim, malah kontrak Park atau nama jolokannya Pak Karim disambung selama dua tahun lagi iaitu sehingga 2024.

Aksi Park Taesu ketika Sabah menewaskan Pahang FC pada 11 Oktober lalu.

Park yang bermain di posisi tengah menandatangani kontrak berkenaan semalam di hadapan Pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir.

Sabah sememangnya masih mengharapkan khidmat Park yang pada musim ini berjaya menyumbang lapan gol dalam 19 perlawanan Liga Super yang beliau bermain.

“Park Tae Su has extended his contract with Sabah Football Club (Park Taesu menyambung kontraknya bersama Kelab Bola Sepak Sabah). #RaduTatapRadu,” kata Ahmad Marzuki di laman Facebook beliau.

Perkongsian itu mendapat maklum balas positif penyokong bola sepak Sabah yang rata-ratanya memberi komen positif terhadap penyambungan kontrak Park bersama skuad negeri.

Malah, ada netizen mencadangkan agar Park diberi taraf pemain naturalisasi kerana memasuki tahun kelima bersama Sabah FC pada tahun depan.

Sepanjang aksi Liga Super musim ini, kelibat Park sentiasa menjadi perhatian berikutan kebolehannya menyudahkan hantaran rakan kepada gol melalui tandukan berbisanya.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pasti memasukkannya dalam kesebelasan utama pasukan setiap kali perlawanan kecuali jika Park mengalami kecederaan.

Menjelang aksi Piala Malaysia yang bermula 26 Oktober ini, khidmat Park bersama tonggak lain pasti sekali lagi ditagih terutama untuk mengejar misi Kim Swee mendapatkan slot ke AFC untuk Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|