Geran tahunan RM6 juta kepada YSCT

Geran tahunan RM6 juta kepada YSCT

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengumumkan kelulusan geran tahunan bernilai RM6 juta kepada Yayasan Sabah College of Technology (YSCT), sebagai tambahan kepada pembiayaan sedia ada bagi kos pengoperasiannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan turut menyediakan kuota biasiswa khas tahunan daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) kepada 100 pelajar YSCT, selain meluluskan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kolej berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, bantuan one-off sebanyak RM500 akan diberikan sebagai insentif kepada semua pegawai dan kakitangan kolej berkenaan, yang akan dibayar pada Disember ini.

“Saya berharap dengan bantuan ini, YSCT akan menghasilkan graduan lengkap dengan latihan dan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan tenaga kerja di negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan terus menekankan perkembangan modal insan, terutama di kalangan belia.

“Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang kini menerima pelaburan asing berprestasi tinggi ada menyediakan peluang pekerjaan untuk graduan dengan kemahiran teknikal, termasuk dari YSCT, untuk bekerja di sektor pembuatan dan perindustrian,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Konvokesyen Kali ke-25, Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) di Sabah International Convention Centre, hari ini.

Hajiji berkata, memandangkan golongan belia dekat di hatinya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya telah meluluskan pelbagai bantuan dan peruntukkan untuk manfaat mereka.

“Antaranya ialah penubuhan TPNS, Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI).

“Kerajaan Negeri juga komited dalam membantu belia menerusi kementerian berkaitan dalam pembangunan usahawan belia Sabah (SYABAS), serta Skim Usahawan Siswazah (SUS) dan Skim Usahawan Teknikal (SUK) untuk graduan institusi pengajian tinggi di bawah pengurusan SEDCO,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa kementerian dan agensi antaranya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Jabatan Pembangunan Sumber Manusia juga telah diamanahkan untuk menjalankan kursus berkaitan teknologi dan kemahiran untuk belia memandangkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat adalah teras kedua Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Arifin Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Pengarah Yayasan Sabah dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar dan Ketua Eksekutif YSCT, Samin Ongki.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|