Stesen minyak pusat respon awal kecemasan

Stesen minyak pusat respon awal kecemasan

Penampang: Syarikat Petron membuktikan komitmen kepada keselamatan masyarakat dengan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi program Go-To-Safety-Point (GTSP).

Dalam program berkenaan, ia menjadi stesen Petron sebagai pusat respons awal sekiranya berlaku kecemasan.

Jauteh bersama Shaliza Mohd Sidek merasmikan pelancaran program GTSP di Stesen Petron Menintod, Penampang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, menerusi GTSP, ia memberikan tambahan pilihan kepada orang awam untuk pergi apabila berdepan masalah atau kecemasan.

Katanya, ia amat membantu lebih-lebih lagi apabila lokasi kejadian itu berada jauh daripada balai polis atau hospital.

“Dalam kerjasama ini, kakitangan stesen Petron dilatih oleh PDRM untuk mempraktikkan pengetahuan mereka apabila berlaku sebarang situasi kecemasan.

“Ia amat membantu kerana sebelum ini, masyarakat akan pergi ke balai polis atau hospital untuk mendapatkan bantuan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas pelancaran Majlis Pelancaran Dan Simulasi GTSP, di Stesen Petron Minintod, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, PDRM tidak bersendirian dalam usaha berdepan jenayah dengan pengwujudan pelbagai program komuniti kepolisan.

Katanya, program ini juga adalah salah satu platform untuk polis dan masyarakat bekerjasama menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan.

“Ia juga mengeratkan lagi silaturahim yang terjalin bersesuaian dengan moto PDRM ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.

Sementara itu, Jauteh berkata, sebanyak 214 stesen minyak di negeri ini sudah berdaftar sebagai ejen GTSP termasuk 66 stesen Petron.

Katanya, antara kriteria pemilihan termasuk stesen yang beroperasi 24 jam, tumpuan awam dan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) serta rangkaian komunikasi yang efisyen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|