8 barangan harga terkawal dalam SHMMP Deepavali 2022

8 barangan harga terkawal dalam SHMMP Deepavali 2022

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 yang dikuatkuasakan bermula 20 Oktober hingga 26 Oktober ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, tempoh pelaksanaannya adalah selama tujuh hari, berkuat kuasa empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.

Penguatkuasa KPDNHEP memeriksa premis tumpuan pengguna di Bundusan, Penampang dan Kota Kinabalu pada hari pertama pelaksanaan SHMMP Deepavali.

“Antara barangan harga terkawal bagi skim ini ialah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil (India), bawang merah besar import dan kacang dal (Australia),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada masa yang sama, ayam dan telur ayam juga telah disambung pewartaannya sebagai barangan harga terkawal dan sedang berkuat kuasa mulai 12 Oktober.

“Antara jenis barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam adalah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), dan ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

“Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji),” katanya.

Sementara itu, Zulfamy berkata, sempena hari pertama pelaksanaannya, KPDNHEP Negeri Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis tumpuan pengguna di sekitar Bundusan, Penampang dan Kota Kinabalu.

“Pemeriksaan ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang langkah Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.

“Sepanjang pemeriksaan dijalankan, kesemua premis mematuhi harga SHMMP Deepavali 2022 yang telah diwartakan,” katanya.

Tegas beliau, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Justeru, orang ramai diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga.

“Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan seperti aplikasi Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000; portal aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my; dan Call Centre di talian 1-800-886-800.

“Selain itu, pengadu boleh hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP berdekatan, antara lain,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|