Bekas ADUN Sekong meninggal dunia

Bekas ADUN Sekong meninggal dunia

Kota Kinabalu: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya meninggal dunia selepas dilaporkan menghadapi masalah kesihatan ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, pada kira-kira jam 3 petang tadi.

Berita itu dikongsi beberapa individu di media sosial termasuk Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dalam perkongsiannya, Bung Moktar mengucapkan takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham.

“Al’Fatihah, Semoga Roh Allahyarham Dt Hj Shamsudin Yahya, Allah Letakkan Bersama Orang Orang Solleh dan Beriman.

“Takziah kepada Datin Junaidah Aji dan seluruh keluarga, diharap tabah menerima dengan kehendak Allah.

“Setiap yang hidup pasti akan kembali kepada penciptanya. Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Kita Kembali!,” katanya.

Difahamkan, pesawat dinaiki Allahyarham berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 2.20 petang tadi dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 4.40 petang hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan disebabkan keadaan kesihatan Allahyarham, penerbangan Malaysia Airline yang dinaikinya terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur selepas kira-kira 40 minit berlepas.

Ketika hayatnya, Samsuddin pernah menjadi ADUN Sekong selama tiga penggal sejak 2004 sebelum tewas kepada calon Parti Warisan (WARISAN), Ariffin Asgali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Beliau juga adalah bekas Ketua UMNO Batu Sapi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|