RUU Anti Lompat wajar dibentang di DUN Sabah – Nizam

RUU Anti Lompat wajar dibentang di DUN Sabah – Nizam

Tawau: Komitmen kerajaan negeri untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ajan datang disifatkan sebagai langkah tepat demi kestabilan politik negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata RUU itu sudah dibahas dan diluluskan Parlimen sebelum dipersetujui Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Katanya, RUU itu perlu dibentang dan diluluskan di peringkat DUN untuk dijadikan satu akta atau undang-undang bagi kepentingan dan kestabilan kerajaan yang dibentuk.

“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya juga melihat RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan di negeri ini supaya rakyat yakin terhadap pemimpin yang mereka pilih.

“Kita juga tidak mahu berlakunya perkara-perkara yang boleh menggugat kestabilan politik dan kerajaan yang sedia ada di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Apas berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah, di sini semalam.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata RUU Anti Lompat Parti akan diusul pada persidangan DUN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|