‘Sumandak’ Sabah juara X-Ragbi B-17 Kebangsaan

‘Sumandak’ Sabah juara X-Ragbi B-17 Kebangsaan

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah muncul juara Kejohanan X-Rugby Wanita Bawah 17 Tahun (B-17) peringkat kebangsaan yang berlangsung di Stadium Mini Shah Alam, di Selangor.

Dalam aksi final yang berlangsung petang tadi, pasukan yang dibimbing jurulatih Joseph Josephepine Augustine itu berjaya menewakan pasukan Kulai dengan kedudukan 17-15.

Kejohanan julung kali yang dianjurkan oleh Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) dengan kerjasama Sekretariat Sukan Wanita, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Malaysia Rugby (MR) telah berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Kejohanan itu merupakan kejohanan kebangsaan wanita remaja yang melibatkan Pusat Latihan Daerah dari seluruh negara termasuk dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Objektif utama penganjuran program ini adalah sebagai platform utama kepada pemain remaja wanita sebelum mereka ke peringkat seterusnya.

Ianya juga bertujuan untuk memantapkan mutu pembangunan sukan ragbi wanita di Malaysia dalam usaha menjadikan ragbi sebagai sukan utama di negara ini.

Melalui kejohanan ini juga, pemilhan pemain kebangsaan dibuat bagi Kejohanan Ragbi Asia B-18 Tahun yang akan diadakan di Nepal pada 10 Disember depan.

Untuk rekod, seramai 240 peserta dan pegawai dari 16 buah pasukan seluruh Malaysia telah menyertai kejohanan kali ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|