PRU15: Ramalan siapa menang panaskan kempen saat akhir

PRU15: Ramalan siapa menang panaskan kempen saat akhir

Tinggal sehari lagi tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum hari mengundi bagi menentukan ‘juara’ setiap kerusi yang ditandingi pada 19 November, Sabtu ini.

Paling penting, malam Sabtu ini juga akan menjadi detik penentuan parti mana yang bakal mendapat mandat daripada rakyat seluruh negara untuk membentuk kerajaan baharu persekutuan.

Meskipun begitu, ramai ‘penilik’ tidak rasmi sudah mula meramalkan siapa calon dan parti bakal menang di setiap kerusi termasuk berapa kerusi bakal dimenangi parti yang bertanding.

Malah, kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjangkakan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal memenangi lebih 15 daripada 25 kerusi yang ditandingi di Sabah.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan keyakinannya untuk PH memenangi banyak kerusi di Sabah menerusi parti gabungannya, PKR, DAP, UPKO dan AMANAH.

Tidak ketinggalan, Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut yakin partinya mampu menguasai sebahagian besar kerusi di Sabah dalam misinya untuk membentuk Blok Borneo bersama parti di Sarawak.

Itu belum lagi ramalan penganalisis politik dalam kalangan ahli akademik atau penyelidik dari institusi pengajian tinggi tempatan, masing-masing turut tampil dengan ‘tekaan’ mereka sendiri.

Begitu juga cerita kedai kopi, ketika ini pasti ramai berbicara mengenai ‘keputusan awal belum rasmi’ PRU15, ada yang berpihak kepada parti kerajaan dan ada juga berpihak kepada parti lawan.

Secara amnya, berdasarkan pemerhatian penulis, agak sukar untuk meramalkan siapa bakal memenangi kerusi yang ditandingi setelah hampir dua minggu kempen PRU15 kerana kedudukan setiap kerusi sudah berubah sejak PRU14 lagi.

Soal kerusi tradisi, deposit tetap seperti pandangan beberapa penganalisis politik sebelum ini sudah tidak timbul memandangkan tiada lagi parti yang dilihat mendominasi mana-mana kerusi kecuali beberapa kerusi tertentu seperti Semporna dan Kinabatangan.

Begitu juga soal parti mana bakal mendapat paling banyak kerusi Parlimen di Sabah, masih agak sukar untuk ditentukan meskipun setiap parti bertanding yakin memenangi kerusi terbabit.

Di kerusi Parlimen Putatan, contohnya WARISAN dilihat berpotensi memenangi kerusi itu atas alasan dua DUN di kawasan berkenaan iaitu Tanjung Aru dan Petagas dikuasai WARISAN, namun ada juga pendapat mengatakan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan walaupun tidak menguasai mana-mana DUN.

Malah, calon BN yang juga ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dilihat turut berpeluang merampas kerusi Putatan berdasarkan sokongan diterimanya di Tanjung Keramat, selain melihat kedudukannya sebagai calon kerajaan negeri, lebih-lebih lagi beliau adalah menteri dalam Kabinet Sabah.

Yang jelas keputusan siapa calon yang mendahului sokongan pengundi masih lagi 50-50 sehinggalah penjumlahan undi dilaksanakan pada malam Sabtu nanti.

Di kerusi lain juga begitu, malah calon ‘pilihan’ yang dikatakan berpotensi menang belum tentu menjadi kenyataan, malah ada calon yang sebelum ini dianggap ‘underdog’ dilihat menjadi pencabar utama dan berkemungkinan mampu memintas pada saat akhir.

Malah, bukan saja calon ‘berparti’, calon Bebas juga mungkin berpeluang mencipta kejutan walaupun ada isu di sebalik kemunculan mereka seperti yang berlaku di Tenom dan mungkin juga di kawasan lain.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ada calon dan parti yang bertanding hanya setakat ‘menjadi calon’ dan tiada potensi untuk menang atau melakukan kejutan berdasarkan aktiviti kempen yang tidak menonjol.

Meskipun kaedah kempen pada masa ini tidak lagi terhad kepada bahan fizikal seperti bendera, poster, banting dan ‘banner’ atau papan iklan berikutan adanya media sosial, namun aktiviti berjumpa pengundi dan program ceramah serta rapat umum masih lagi penting.

Ini kerana kehadiran orang ramai ketika kempen pilihan raya secara fizikal masih lagi menjadi penentu kepada sokongan seseorang calon atau sesebuah parti, malah kebanyakan ramalan mengenai potensi kemenangan calon atau parti dibuat berdasarkan aspek ini, selain temuramah pengundi secara rambang.

Namun, apa yang jelas ramalan yang dibuat penganalisis atau pemerhati politik termasuk melalui cerita kedai kopi tidak lebih hanya penyedap cerita dan pemanas kempen politik yang sememangnya lumrah dalam setiap pilihan raya.

Namun, setidak-tidaknya ramalan itu dapat menguatkan semangat untuk meneruskan kempen saat akhir sepanjang hari esok kerana ia dianggap tempoh kritikal bagi menarik sokongan pengundi terutamanya golongan ‘atas pagar’ supaya mengundi mereka pada Sabtu ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|