Polis jamin keselamatan hari pembuangan undi

Polis jamin keselamatan hari pembuangan undi

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah berkata, pelbagai kekuatan elemen PDRM sudah digerakkan bagi memastikan kelancaran hari mengundi terjamin.

Katanya, proses penamaan calon sebelum ini berjalan lancar walaupun berlaku beberapa insiden kecil yang berjaya ditangani dengan baik.

“Manakala sepanjang tempoh berkempen, keadaan keselamatan terkawal tanpa berlaku sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam.

“PDRM amat yakin dan memberi jaminan proses pembuangan undi akan berlangsung dengan lancar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Acryl Sani berkata, segala langkah sudah diambil bagi memastikan masyarakat dapat keluar menunaikan hak serta tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa takut.

“Masyarakat juga disarankan supaya tidak terpedaya dengan spekulasi mengenai ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“PDRM akan memberi komitmen tinggi dalam memastikan PRU kali ini berjalan dengan aman dan tenteram,” katanya.

Acryl Sani berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|