PRU15: Ulangi sokongan terhadap GRS-BN pada PRN 2020 untuk selamatkan Sabah – Mandela Malakun

PRU15: Ulangi sokongan terhadap GRS-BN pada PRN 2020 untuk selamatkan Sabah – Mandela Malakun

Penampang: Rakyat Sabah tidak melupakan bagaimana kerajaan negeri pimpinan WARISAN sebelum ini hampir memusnahkan ekonomi negeri apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah menguncup sehingga negatif 9.2 peratus pada 2020.

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Penampang, Ceasar Mandela Malakun, berkata penurunan itu sangat besar jika dibandingkan kadar KDNK 8.2 peratus yang dilakar Sabah pada 2017.

Katanya, kehidupan rakyat Sabah terjejas disebabkan kelembapan ekonomi dan atas sebab itu rakyat negeri ini memilih untuk menolak WARISAN dan rakan mereka, Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

“Pada masa itu, rakyat Sabah menyelamatkan negeri ini dengan memilih pemimpin yang mereka tahu mampu memulihkan semula ekonomi.

“Pilihan mereka memang tepat kerana dalam masa hanya 15 bulan, kerajaan negeri GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) berjaya membawa ekonomi Sabah kembali ke landasan yang betul.

“Tahun lalu, selepas penurunan berterusan ekonomi ketika kerajaan WARISAN, Sabah berjaya mengembalikan KDNK ke angka positif dengan pertumbuhan 1.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal boleh mempertikaikan bahawa bukan kesalahannya apabila ekonomi Sabah merosot secara drastik pada 2020 kerana seluruh negara mencatat KDNK negatif.

Bagaimanapun, Mandela berkata, Shafie lupa menyebut bahawa daripada semua negeri di Malaysia, Sabah mencatat rekod paling buruk.

“Malah, Kelantan hanya merekodkan negatif 1.2 peratus pertumbuhan KDNK. Bukan itu saja, KDNK Sabah juga lebih buruk berbanding purata KDNK nasional iaitu negatif 5.5 peratus.

“Kerajaan hari ini berjaya menghidupkan semula ekonomi dengan pertumbuhan KDNK 1.1 peratus pada tahun lalu, sesuatu yang menakjubkan kerana berjaya dilakukan dalam masa singkat,” katanya.

Namun, katanya Shafie sudah tentu tidak menghiraukan indikator ekonomi itu, sebaliknya memfokuskan ke atas perkara seperti pemberian biasiswa Yayasan Sabah kepada pelajar seolah-olah ia baru bermula pada 2018, ketika WARISAN menjadi kerajaan.

Mandela berkata amat penting untuk rakyat mengetahui pertumbuhan KDNK Sabah kerana ia adalah indikator penting keadaan ekonomi negeri ini.

“Amaran kemelesetan ekonomi pada 2023 sudah mula tiba. Peluang terbaik kita ialah kita berharap mempunyai kerajaan yang tahu bagaimana untuk meredakan situasi.

“Kita memerlukan pemimpin yang mempunyai visi mengenai ke arah mana mereka mahu pimpin Sabah.

“Kerajaan Sabah ketika ini mempunyai visinya yang sudah sedia diletakkan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Di bawah perancangan ini, sebanyak 584 inisiatif yang merangkumi 304 inisiatif teras dan 280 pemboleh ubah dirangka untuk dilaksanakan sejak 2021,” katanya.

Jelasnya, banyaknya inisiatif itu pasti mengejutkan dan tentunya kerajaan akan terus menambahnya lagi bergantung kepada perkembangan hala tuju itu.

Katanya, pembangkang boleh terus bermain dengan politik, iaitu satu-satunya yang mereka nampak boleh lakukan kerana mereka sudah membuktikan betapa buruknya mereka ketika memerintah.

Mandela menjelaskan, di bawah kerajaan GRS-BN, Sabah kembali di landasan yang betul dengan hasil negeri RM5.449 bilion, memecah rekod pada 2021 dan pada tahun ini bakal menjadi satu lagi sejarah bagi Sabah dengan hasil diunjur lebih RM6 bilion.

“Tapi kerja kita belum selesai, ada banyak perkara lagi yang perlu dilaksanakan demi kebaikan Sabah dan rakyatnya.

“Satu-satunya perkara yang kita perlu sekarang ialah sokongan rakyat, undi rakyat supaya Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) boleh dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|