PRU15: Tamu Telupid berpotensi tarik pelancong

PRU15: Tamu Telupid berpotensi tarik pelancong

Beluran: Calon Pakatan Harapan (PH) Beluran, Felix Joseph Saang, bertekad untuk menjadikan Pasar Tamu Minggu Telupid sebagai salah satu tarikan industri pelancongan.

Beliau berkata, keunikan yang ada pada tamu berkenaan amat berpotensi untuk dijadikan pusat tarikan pelancong serta pengunjung dari dalam dan luar daerah Telupid.

“PH Beluran percaya Pasar Tamu Minggu Telupid boleh dijadikan sebagai pusat pelancongan bukan sahaja dalam kalangan warga Telupid dan Beluran tetapi juga pengunjung-pengunjung dari daerah lain.

“Begitu juga dengan pelancong luar negara yang sudah semestinya tertarik dengan pelbagai keunikan produk yang ditawarkan di pasar tamu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas acara ‘walkabout’ PH di Pasar Tamu Telupid, baru-baru ini.

Felix yang juga Timbalan Ketua Pemuda PH berkata, pengunjung juga boleh membeli hasil tani dari peniaga kecil dan usahawan tani di daerah ini.

Katanya, ini secara langsung boleh meningkatkan ekonomi dan menjana pendapatan petani serta peniaga di kawasan parlimen berkenaan.

“PH Beluran ingin memperbanyakkan bantuan pertanian, kursus dari pakar pertanian, dan pinjaman berasas kepada petani-petani bagi meningkatkan hasil tanaman.

“Di samping itu, kita juga ingin menggalakkan para petani untuk menceburkan diri dalam inovasi pertanian terutamanya industri pemprosesan hasil tani kepada produk sebagai sumber ekonomi baharu.

“Inilah aspirasi saya terhadap warga Telupid dan Beluran khususnya. Beri peluang kepada saya untuk menyalurkan usaha dalam memajukan daerah Telupid dan Beluran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UPKO itu turut merancang untuk meletak papan tanda nama Pasar Am dan Jadual Pasar Tamu Minggu yang sesuai di kawasan masuk Pekan Telupid.

“Antara manifesto saya untuk Beluran ialah memacu sosio ekonomi, industri, pelancongan dan galakan pertanian di kawasan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|