PRU15: Sabah Sarawak penentu siapa bentuk kerajaan Sabtu ini – Shafie Apdal

PRU15: Sabah Sarawak penentu siapa bentuk kerajaan Sabtu ini – Shafie Apdal

Putatan: Parti Warisan (WARISAN) mendakwa mana-mana gabungan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dapat membentuk kerajaan Pusat tanpa merujuk kepada Sabah dan Sarawak.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata berikutan itu WARISAN menyasarkan untuk memenangi 25 kerusi atau sebahagian besar daripada keseluruhan kerusi Parlimen di Sabah pada 19 November ini.

Katanya, WARISAN perlu memenangi sebanyak mungkin kerusi di Sabah, selain satu di Labuan bagi menguatkan kedudukan parti itu dalam menentukan siapa yang boleh membentuk kerajaan Pusat selepas PRU15, Sabtu ini.

“Kalau kita (WARISAN) menang 25 kerusi di Sabah dan (parti) di Sarawak 31 kerusi, kerajaan Pusat tidak dapat dibentuk tanpa merujuk kepada Sabah dan Sarawak.

“Sebaliknya, kita yang akan menentukan siapa yang dapat membentuk kerajaan negara ini,” katanya pada ceramah Perdana WARISAN bersama calon kerusi Parlimen Putatan, Ahmad Mohd Said dan calon kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Amanda Yeo, di sini, kelmarin.

Katanya, jika situasi itu berlaku selepas keputusan PRU15 diketahui Sabtu ini, WARISAN bersama parti di Sarawak akan meminta hak negeri masing-masing mengikut perlembagaan sebagai balasan untuk menjadi pelengkap kerusi bagi membentuk kerajaan.

Calon kerusi Parlimen Semporna itu berkata, ia termasuk tuntutan pengembalian 40 peratus hasil Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Mohd Shafie berkata, WARISAN juga akan sama-sama membentuk Blok Borneo dengan parti di Sarawak bagi mengukuhkan lagi usaha kedua-dua negeri dalam mengajukan tuntutan yang sama kepada kerajaan persekutuan.

Sementara itu, beliau berkata WARISAN mampu memenangi sebahagian besar kerusi Parlimen di Sabah pada PRU15, selain kerusi Parlimen Labuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|