PRU15: Bekas pemimpin WARISAN sokong Ronald di Beluran

PRU15: Bekas pemimpin WARISAN sokong Ronald di Beluran

Beluran: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Beluran, Datuk Dr Ronald Kiandee menerima sokongan daripada pemimpin Parti Warisan (WARISAN) yang membuat keputusan keluar parti, hari ini.

Mereka ialah Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) WARISAN Klagan, Ismail Butai, 63 dan Ketua Cawangan WARISAN Bukit Besi, Kamri Juhai, 73.

Kedua-dua mereka turut menyerahkan borang keahlian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada Ronald selaku Ketua Bahagian BERSATU Beluran dalam satu program di Kampung Bukit Besi, hari ini.

Bagi mereka, keperibadian dan jasa Ronald dalam melaksanakan pembangunan di Beluran khususnya di kampung mereka (Bukit Besi) menjadi faktor untuk menyokong beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ismail berkata faktor utama beliau membuat keputusan menyokong Ronald dan menyertai BERSATU ialah disebabkan keperibadian dan keikhlasannya membantu rakyat serta rekod pelaksanaan pembangunan yang berterusan di Beluran.

Katanya di Kampung Bukit Besi, antara bantuan dan pembangunan secara terus dibawa oleh Ronald adalah bantuan enjin bot kepada nelayan, jambatan dan dewan.

“Selain itu, Datuk (Ronald) juga ikhlas dalam membantu rakyat. Saya antara yang telah dibantu ketika saya menguruskan rawatan kesihatan anak menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi Kamri, beliau membuat keputusan menyertai BERSATU dan memberikan sokongan kepada Ronald kerana hilang keyakinan terhadap WARISAN dalam aspek melaksanakan pembangunan di Beluran dan membela nasib rakyat.

“Sudah lama saya menyimpan niat menyertai BERSATU dan memberikan sokongan kepada Ronald. Pada PRU15 ini, saya jadikan ia kenyataan dan menyokong kuat pencalonan beliau serta memastikan kemenangan Ronald pada PRU15 di Beluran ini.

“Bagi saya, Ronald terbukti ada pencapaian baik dalam melaksanakan pembangunan di Parlimen Beluran dan menjaga kebajikan rakyat ketika diperlukan,” katanya.

Bagi kerusi Parlimen Beluran, Ronald sebagai penyandang ditentang empat calon lain iaitu Benedict Asmat (BN) Rowiena Rasid (WARISAN), Hausing Samsudin @ Sudin (PEJUANG) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|