PRU15: Kepimpinan, sumbangan calon ukuran utama pengundi baharu

PRU15: Kepimpinan, sumbangan calon ukuran utama pengundi baharu

Kota Kinabalu: Kurang 48 jam sebelum tibanya hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini pastinya tempoh kritikal kepada calon untuk merayu undi, khususnya pengundi muda atau baharu.

Namun, sama ada seseorang calon mendapat undi yang diharapkan, ia bergantung kepada kriteria yang dikehendaki atau ditetapkan pengundi sebelum membuat keputusan siapa yang harus diundi.

Tinjauan dalam kalangan pengundi baharu mendapati rata-rata mereka lebih memilih untuk meneliti sumbangan dan potensi calon berbanding parti yang diwakilinya.

Salah seorang yang ditemui, Elfyeyon Jupinin, 22, berkata, beliau teruja untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai pengundi buat pertama kali untuk memilih wakil rakyat yang memenuhi kriterianya.

“Turun mengundi merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat dan undian kita akan menentukan siapa yang akan mentadbir negara pada masa akan datang.

“Saya berharap agar mana-mana pihak yang menang dalam PRU15 akan dapat mentadbir negara dengan baik dan menyediakan peluang pekerjaan, khususnya untuk rakyat dan juga para graduan yang baharu nanti,” katanya.

Katanya, dalam membuat pemilihan calon yang bakal diundi, beliau cenderung untuk melihat kepada calon yang bertanding dan apa yang mampu dibawa ke kawasan yang akan diwakilinya.

“Secara peribadi, saya akan melihat kepada calon itu sendiri berbanding parti, kerana setiap calon mempunyai keupayaan yang berbeza.

“Nasihat saya kepada rakan-rakan di luar, sebelum membuat undian adalah baik untuk kita membuat sedikit kajian mengenai calon-calon yang bertanding,” katanya.

Turut berkongsi pandangan yang sama, Falmon Kain, 21, seorang pemuda yang berasal dari Kudat.

Jelasnya, pemilihan calon sebagai wakil rakyat penting dalam memastikan wujudnya kestabilan dan keharmonian dalam landskap politik di negara ini.

“Saya memilih untuk melihat dari segi calon itu sendiri, kerana dalam politik ia adalah bergantung kepada cara kepimpinan itu sendiri.

“Pada masa yang sama, saya berharap agar situasi politik di negara kita akan lebih stabil untuk ke depan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengundi 18 tahun, Cody Ryan James, memgakui beliau merasa teruja dan gementar menjelang tiba hari pengundian.

Jelasnya, setiap undi amat bermakna kerana ia merupakan satu bentuk penglibatan dalam membina sebuah negara yang maju dan berjaya.

“Saya rasa melihat dari sudut calon itu sendiri lebih penting daripada parti. Contohnya, calon di daerah saya, kita perlu lihat reputasi calon dan apa sumbangan dia kepada masyarakat.

“Melalui cara ini kita dapat menilai dan tahu bahawa kita boleh percaya calon tersebut atau tidak,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap agar siapapun yang bakal memegang kepimpinan negara akan memberi tumpuan terhadap sektor pendidikan, khususnya golongan B40.

“Saya berharap dari segi pendidikan kerajaan boleh membantu, terutamanya kepada masyarakat B40.

“Hal ini kerana mereka merupakan antara golongan yang betul-betul memerlukan bantuan agar mereka dapat belajar dengan sebaiknya dan mendapat pekerjaan yang baik, sekali gus memberi impak positif kepada negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|